doa awal tahun

RIWAYAT SAHIH DOA AWAL TAHUN

Oleh : Ustaz Mohd Khafidz Bin Soroni

Ia berkaitan membaca doa pada awal tahun atau awal bulan yang sebenarnya dilakukan oleh para sahabat RA. Dalilnya:

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ هِشَامٍ قَالَ: كَانَ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – يَتَعَلَّمُونَ هَذَا الدُّعَاءَ – وفي رواية: كما يتعلَّمون القرآن – إِذَا دَخَلَتِ السَّنَةُ أَوِ الشَّهْرُ: “اللَّهُمَّ أَدْخِلْهُ عَلَيْنَا بِالْأَمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ، وَرِضْوَانٍ مِنَ الرَّحْمَنِ، وَجَوَازٍ مِنَ الشَّيْطَانِ”. (رَوَاهُ الطَّبَرَانِيُّ فِي المعجم الْأَوْسَطِ، والبغوي في معجم الصحابة ، وقال الهيثمي في مجمع الزوائد: وَإِسْنَادُهُ حَسَنٌ)

Terjemahan:

Daripada Abdullah bin Hisyam katanya: Para sahabat Rasulullah s.a.w. mempelajari doa ini – dalam satu riwayat: sebagaimana mereka mempelajari al-Quran – apabila masuk awal tahun atau bulan: “Ya Allah, masukkanlah ia ke atas kami dengan keamanan, keimanan, keselamatan, keislaman, keredhaan dari ar-Rahman (Yang Maha Pengasih) serta kelepasan dari syaitan”.

Takhrij & Ulasan:

Ia diriwayatkan oleh Imam al-Tabarani dalam al-Mu‘jam al-Awsat dan Imam al-Baghawi dalam Mu‘jam al-Sahabah. Kata al-Hafiz al-Haithami dalam Majma az-Zawa’id: “Dan sanadnya hasan”. Walaupun ada yang mempertikaikan jalur riwayat at-Tabarani, namun ia dikuatkan oleh jalur riwayat al-Baghawi dan menjadikannya kuat.

Menurut saya, riwayat ini walaupun mauquf (terhenti) pada sahabat RA, namun ia mempunyai hukum marfu‘ (sampai kepada Rasulullah SAW) kerana tidak mungkin sahabat mereka-reka sendiri doa berkenaan dan sudah tentu mereka mempelajarinya daripada Rasulullah SAW juga. Ini disungguhkan dengan ungkapan yang menunjukkan perhatian khas daripada para sahabat RA terhadapnya dalam riwayat al-Baghawi: “…mempelajari doa ini sebagaimana mereka mempelajari al-Quran’. Riwayat ini adalah berbeza dengan beberapa riwayat lain yang hanya menyebut Nabi SAW berdoa di setiap awal bulan tanpa menyebut tahun, antaranya riwayat;

عن طلحة بن عبيدِ اللهِ – رضي الله عنه – أنَّ النبيَّ – صلى الله عليه وسلم – كَانَ إِذَا رَأى الهلاَلَ قَالَ: “اللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِالْيُمْنِ وَالْإِيمَانِ، وَالسَّلَامَةِ وَالْإِسْلَامِ، رَبِّي وَرَبُّكَ اللَّهُ”. (رواه أحمد والدارمي والترمذي وقال: حديث حسن غريب، وأخرجه الدارمي أيضاً وابن حبان في صحيحه عن ابن عمر نحوه)

Terjemahan: Daripada Talhah bin ‘Ubaidillah RA bahawa Nabi s.a.w. apabila melihat anak bulan (ertinya masuk awal bulan) baginda berdoa: “Ya Allah, sinarkanlah ia ke atas kami dengan keberkatan, keimanan, keselamatan dan keislaman. Tuhanku dan Tuhanmu adalah Allah”. (HR Ahmad, ad-Darimi dan at-Tirmizi, katanya: Hadis hasan gharib. Juga dikeluarkan oleh ad-Darimi dan Ibn Hibban dalam Sahihnya daripada Ibn ‘Umar RA seumpamanya)
Wallahu a‘lam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *