Soalan:

Assalamu’alaikum ustaz, saya ingin bertanya bagaimanakah kaedah nazar yang sebenar? Adakah tidak sah jika niat di dalam hati kerana merujuk surah Maryam ayat 26? Adakah perlu secara kalam? Dan bagaimana kaedahnya? Jazakallahu khairan

 

 

Jawapan:

Wa’alaikum salam.

Nazar hanya sah apabila ia diucapkan dengan lisan. Hal ini menjadi kaedah am dalam hukum dan amalan. Sebagaimana hadis Nabi sallallahu alaihi wasallam:

إِنَّ اللَّهَ تَعَالَى تَجَاوَزَ عَنْ أُمَّتِي مَا وَسْوَسَتْ بِهِ صُدُورُهَا مَا لم تعْمل بِهِ أَو تَتَكَلَّم

“Sesungguhnya Allah Ta’ala telah mengampuni umatku apa yang dibisikkan dalam hati selama mana ia tidak dilaksanakan atau diucapkan” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Tidak ada lafaz yang khusus buat nazar. Cukup dengan lafaz yang menunjukkan ke arah melazimkan diri dengan sesuatu.

Contohnya: “Wajib atas saya untuk melakukan / tidak melakukan sekian sekian” atau “Saya berjanji dengan Allah untuk sekian sekian”; walaupun tidak disebut perkataan nazar itu sendiri.

Harus diingat, sebahagian ulama termasuk Syeikh Ibnu Uthaimin rahimahullah melihat bahawa hukum nazar adalah makruh bahkan Syeikhul Islam Ibnu Taimiah cenderung ke arah pengharamannya. Ini berdasarkan hadis Ibnu Omar bahawa Nabi sallallahu alaihi wasallam bersabda:

لا تَنْذُرُوا فَإِنَّ النَّذْرَ لَا يُغْنِي مِنَ الْقَدَرِ شَيْئًا وَإِنَّمَا يُسْتَخْرَجُ بِهِ من الْبَخِيل

“Janganlah kalian bernazar; sesungguhnya ia tidak bisa mempengaruhi takdir; ia hanya dilakukan oleh orang yang bakhil” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Ini hukum nazar secara am. Adapun kalau seseorang itu sudahpun bernazar, maka wajib untuknya melaksakannya selama mana ia adalah suatu yang baik atau harus. Sebagaimana sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلا يَعْصِهِ

“Barangsiapa bernazar untuk taat kepada Allah maka hendaklah dia taat; dan barangsiapa bernazar untuk kemaksiatan maka janganlah ia melakukannya” (Riwayat Bukhari).

Adapun nazar maksiat, cukup dengan dia tidak menunaikan nazar itu kerana ia maksiat. Tidak ada kafarah yang wajib ke atasnya. Selain itu, bagi mereka yang melanggar nazar atau ingin menebus nazarnya, kafarah nazar adalah:

1. Memberi makan kepada sepuluh orang miskin; atau
2. Memberi pakaian kepada sepuluh orang miskin; atau
3. Memerdekakan seorang hamba.

Sebagaimana yang disebut dalam Surah Al-Maa’idah, ayat 89.

(Rujukan Syarah Al-Mumti’ oleh Syeikh Ibnu Uthaimin)

Jawapan oleh:
Ustaz Idris bin Sulaiman
Pegawai di Pejabat Kedutaan Arab Saudi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *