Soalan:

Baru-baru ini ketika memohon untuk pernikahan saya, pihak jabatan agama menyatakan bahawa proses permohonan pernikahan saya perlu melalui mahkamah syari’ah. Sebabnya, tarikh lahir saya adalah kurang daripada enam bulan daripada tarikh pernikahan ibubapa saya, sebagaimana yang tertera di sijil lahir saya dan sijil pernikahan mereka. Kenapakah demikian? Apakah salah saya sehingga saya perlu melalui kesukaran seperti ini untuk bernikah?

Jawapan:

Tempoh minima bagi seorang ibu untuk mengandung dan melahirkan anak ialah enam bulan. Ini berdasarkan dua ayat berikut ini:

Tempoh menceraikan susunya (di antara ibu dan bayinya) ialah dalam masa dua tahun. [Luqman 31:14]

Tempoh mengandungnya berserta dengan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa tiga puluh bulan. [al-Ahqaf 46:15]

Berdasarkan ayat pertama [Luqman 31:14], tempoh seorang ibu menyusukan bayinya ialah 24 bulan. Berdasarkan ayat kedua pula [al-Ahqaf 46:15], tempoh bagi seorang ibu untuk mengandung dan menyusukan bayinya ialah 30 bulan. Perbezaan antara dua tempoh ini menunjukkan bahawa tempoh minima bagi seorang ibu mengandung ialah 6 bulan. Maka di sini dapat dibuat kesimpulan bahawa meskipun tempoh lazim bagi seorang ibu mengandung ialah 9 bulan, tempoh minimanya ialah 6 bulan.

Inilah yang disepakati oleh para ilmuan Islam, sebagaimana yang dijelaskan oleh Dr. Nurul Irfan dalam bukunya Nasab & Status Anak Dalam Hukum Islam, mukasurat 34. Inilah juga yang difahami daripada ilmu perubatan moden.

Oleh itu, sebagai contoh, apabila seorang anak tarikh lahirnya ialah 1 Mei 1990 sementara tarikh pernikahan ibubapanya ialah 1 Jan 1990, hanya terdapat 4 bulan di antara tarikh pernikahan ibubapa dan tarikh lahir anak. Memandangkan tarikh minima untuk mengandung ialah 6 bulan, maka disyaki bahawa ibubapanya telah mengandung anak tersebut sebelum mereka bernikah. Oleh itu walaupun bapanya ialah ayah biologi yang sebenar (dapat dibuktikan melalui ujian DNA), dari sudut hukum Islam ayahnya tidak boleh menjadi wali pernikahannya.

Berbeza jika tarikh lahir anak ialah 1 Ogos 1990 sementara tarikh pernikahan ibubapanya ialah 1 Jan 1990. Terdapat 8 bulan di antara tarikh pernikahan ibubapa dan tarikh lahir anak mereka. Justeru sekalipun tempoh lazim untuk mengandung ialah 9 bulan, tempoh mengandung 8 bulan masih dapat diterima kerana ia tetap di atas tempoh minima 6 bulan.

Merujuk kepada kes saudari yang bertanya, memandangkan tarikh lahir adalah kurang daripada enam bulan dari tarikh pernikahan ibubapa, maka disyaki bahawa saudari adalah anak di luar nikah. Akan tetapi ini adalah sekadar syak atau dugaan. Atas sebab inilah, proses pernikahan saudari perlu melalui mahkamah syari’ah terlebih dahulu. Dalam mahkamah, tarikh-tarikh ini akan disemak semula kerana mungkin terdapat kesilapan di dalam sijil pernikahan ibubapa atau sijil lahir saudari. Mungkin juga ibubapa telah bernikah lebih awal namun hanya mendaftarkan pernikahan mereka beberapa bulan selepas itu.

Seandainya benar ibu saudari telah mengandung sebelum bernikah secara sah, maka mahkamah akan memberikan solusi pernikahan menggunakan wali hakim kepada saudari. Semua ini adalah sesuatu yang perlu dijalankan oleh pihak jabatan agama dan mahkamah syari’ah berdasarkan dalil-dalil al-Qur’an. Maka hendaklah saudari bersabar dan berdoa kepada Allah agar dipermudahkan urusan ini.

Lebih penting, seandainya terbukti saudari adalah anak luar nikah, usah merasa sedih atau putus harapan kerana saudari tidak menanggung apa-apa dosa atau kesalahan. Kedudukan saudari di sisi Allah tidak diukur berdasarkan tarikh-tarikh tersebut, akan tetapi diukur berdasarkan nilai iman, taqwa dan amal soleh kepada Allah.

Tidak ketinggalan, usah memandang rendah atau membenci ibubapa saudari. Semua orang dalam kehidupan ini pasti melakukan kesilapan dan saya pasti ibubapa saudari telah bertaubat daripada kesilapan mereka. Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Katakanlah: “Wahai hamba-hamba-Ku yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan dosa besar), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” [al-Zumar 39:53-54]

Bahkan bagi orang yang bertaubat, Allah bukan sahaja mengampunkan dosa-dosa mereka malah menukar dosa-dosa tersebut menjadi pahala kebajikan. Ini adalah satu kurniaan agung daripada Allah yang tiada tandingannya. Firman Allah:

Kecuali orang yang bertaubat dan beriman serta mengerjakan amal yang baik, maka orang-orang itu, Allah akan menggantikan kejahatan mereka dengan kebaikan; dan adalah Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [al-Furqan 25:70]

Oleh itu apabila Allah sentiasa bersedia memaafkan dosa dan kesalahan manusia lagi menukarnya kepada pahala kebajikan, hendaklah kita juga sentiasa bersedia memaafkan dosa dan kesalahan sesama manusia. Apatah lagi jika manusia itu ialah ibubapa kita sendiri, maafkanlah mereka dan tetaplah berbakti dan mengasihi mereka. Ingatlah, di antara ciri-ciri syurga ialah memaafkan kesalahan orang lain. Firman Allah Subhanahu waTa’ala:

Dan segeralah kamu kepada keampunan daripada Tuhan kamu dan kepada Syurga yang seluas langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa. Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik. [Ali Imran 3:133-134]

-Sumber: http://hafizfirdaus.com/index.php/kolum-bulanan-mainmenu-110/pengantin-mainmenu-126/soal-jawab-munakahat-mainmenu-127/875-perlu-melalui-mahkamah#sthash.6I1wyqa8.dpuf

Comments

  1. nurul

    Assalam ustaz, Saya ad teman lelaki. Saya b’umu 19 thn dn pasangan 24thn.Hubungan kami terlalu mesra seperti pasangan suami isteri.. Kluarga kami juga dah saling mengenali..Saya terfikir untuk bernikah secepat nya kerana kuatir akan terjebak dengan zina.. Kami pernah merancang untuk bernikah secepatnya.. Tapi kewangan kami msih tak stabil.. Ustaz bole terangkan?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *