SOALAN

Saya bekerja di tempat orang bukan Islam dan badan saya sering terkena najis serta minyak babi dan anjing. Malah pernah juga saya digigit anjing. Bagaimanakah caranya untuk saya membersihkan najis itu daripada badan saya dan seandainya tidak disucikan, adakah berdosa sekiranya saya menunaikan tanggungjawab terhadap agama seperti solat dan puasa?

Zarina Abd. Halim
Kuala Lumpur.

JAWAPAN

Islam amat menitikberatkan akan kebersihan. Tidak kira sama ada kebersihan tubuh badan, tempat tinggal dan sebagainya. Malah apabila seseorang itu hendak menunaikan solat, haruslah memastikan telah mengikuti kesemua syarat sah solat. Di antara syarat tersebut ialah memastikan tubuh badan, pakaian dan tempat solatnya adalah bersih. Kebersihan itu juga dianggap sebahagian daripada iman kita kepada Allah sebagaimana sabda Rasulullah yang bermaksud: “Kebersihan itu sebahagian daripada iman”. Banyak lagi hadis Rasulullah yang menerangkan betapa perlunya umat Islam menjadi umat yang bersih. Justeru, soal ini dibincangkan oleh ulama dengan panjang lebar. Jika dibuka pelbagai kitab fiqh yang dikarang ulama muktabar, terdapat bab yang khusus dipanggil baabul taharah atau bab bersuci dan dibincangkannya secara terperinci.

Berbalik kepada persoalan yang ditimbulkan, ulama telah pun mengkelaskan najis kepada beberapa bahagian, iaitu najis ringan, sederhana dan najis berat (mughallazah). Najis mughallazah iaitu anjing dan babi dan apa-apa yang lahir daripada kedua-dua binatang itu. Apabila seseorang terkena najis itu, sama ada tersentuh anjing atau babi, mestilah membersihkannya.Antara dalil yang menunjukkan anjing dan babi itu najis (malah ulama mengkategorikan sebagai najis berat) adalah merujuk kepada hadis yang diriwayatkan Darul Qitni dan al-Hakim yang maksudnya:
“Iaitu pada satu ketika Rasulullah dijemput ke sebuah rumah dan baginda pun pergi ke situ. Pada ketika lain, baginda dijemput ke rumah lain tetapi baginda tidak pergi lalu bertanya sahabat: Ya Rasulullah, kenapa tidak pergi ke rumah yang dijemput itu? Lalu baginda bersabda: “kerana rumah itu ada anjing”.Kemudian sahabat berkata: “rumah yang dulu itu ada kucing, kenapa Rasulullah pergi?” Jawab Rasululllah:“kucing bukanlah najis”. Berdasarkan hadis itu, ulama memahami ia menunjukkan bahawa anjing adalah najis.

Walaupun kedua-dua hadis itu hanya menyentuh soal anjing dan tidak mengenai babi, ulama menyatakan babi dikiaskan kepada anjing. Justeru itu, kalau anjing yang begitu bentuk rupanya pun dianggap najis, maka babi yang tabiatnya lebih teruk daripada anjing, tentulah lebih buruk lagi maka dikiaskan babi juga termasuk ke dalam jenis najis mughallazah. Walau bagaimanapun, cara membersihkan najis ini tidaklah sama sebagaimana cara kita membersihkan najis yang lain. Kalau najis lain, memadai dengan hanya membasuhnya dengan air mutlak sehingga hilang bau, warna dan rasa. Akan tetapi lain pula dengan najis mughallazah, cara menyucikannya hendaklah dibasuh sebanyak tujuh kali dan satu daripadanya itu hendaklah dengan air yang bercampur tanah.

Ini berasaskan banyak hadis Rasulullah SAW mengenai perkara ini. Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan oleh Ahmad dan Muslim yang bermaksud: “Bersuci najis seseorang kamu apabila dijilat anjing, hendaklah dia membasuhnya tujuh kali dan satu daripadanya hendaklah dengan air yang bercampur tanah”. Berhubung dengan kedudukan saudari di tempat kerja sekarang, pertama sekali sukalah dinasihatkan saudari supaya berusahalah seboleh-bolehnya untuk mengelakkan diri daripada terkena semua najis itu. Tetapi sekiranya sudah terkena maka sebelum menunaikan solat, hendaklah membersihkan diri terlebih dahulu dengan cara seperti yang disebutkan tadi, iaitu membasuhnya enam kali dengan air biasa dan sekali dengan air yang dicampurkan dengan tanah. Selepas itu barulah boleh berwuduk dan menunaikan solat kerana apabila saudari sudah bersih dan suci, solat itu akan terpelihara, menepati syarat dan sah mengikut hukum syarak.

Terima kasih dan tahniah diucapkan di atas keperihatinan saudari sebagai seorang wanita Islam terhadap kepentingan menunaikan kewajipan ibadah kepada Allah seperti menunaikan solat, puasa dan sebagainya. Tetapi dalam keadaan tempat kerja saudari sudah tentulah banyak menimbulkan keraguan kerana banyak terkena najis mughalazah itu. Oleh itu, adalah dinasihatkan agar saudari seeloknya cuba untuk mencari pekerjaan lain dan mengelakkan diri daripada bekerja di tempat yang meragukan serta boleh menimbulkan banyak masalah di dalam memenuhi tuntutan dan tanggungjawab sebagai seorang hamba kepada penciptanya.

Wallahu A‘lam.

 

Sumber: http://www.muftiwp.gov.my/v1/index.php?option=com_content&id=176&lang=en

 

Comments

  1. Aiman

    Saya nk tanya ustaz macam mana saya hendak menyucikan najis mungolazoh saya kena pada tiga hari lepas . Saya buat kerja mesen rumput apabila saya sedang mesen rumput termesen tahi anjing di dalam rumput itu. Selepas tu saya hendak menukar tali mesen saya tidak pasti dekat mesen itu tahi atau tanah saya terpegang .hati saya berasa cemas sehingga hari ini harap ustaz dapat bagi penjelasan ……

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *