Soalan :  

Mohon pencerahan hadis Nabi SAW yang bermaksud,” Sesungguhnya tidak akan masuk syurga orang yang memunggut cukai” (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Hakim)

Jawapan :

Firman Allah SWT :

وَلا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالإِثْمِ وَأَنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya : “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah !!, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah ayat 188).

Firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ وَلا تَقْتُلُوا أَنْفُسَكُمْ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi, rampas, riba dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.” (Surah an-Nisa’ ayat 29)
iii. Hadith sahih dari Abu Hurrah al-Raqashi dari pakciknya, Rasulullah saw bersabda, “Tidak halal harta seseorang melainkan dengan kerelaan hatinya.” Musnad al-Imam Ahmad.

Hukum asal mengambil cukai dari rakyat adalah haram. Ini disandarkan kepada hadis, bahawa Nabi SAW bersabda;

إِنَّ صَاحِبَ الْمَكْسِ فِي النَّارِ

Maksudnya; “Sesungguhnya pengambil cukai dalam neraka” [Musnad Ahmad : 16387]

Dalam kaedah usul fiqh, sebarang ancaman neraka menerusi nas memaksudkan perkara tersebut adalah haram. [mabahis usuliyyah fi taqsimat al-alfaz : 87]

Namun begitu, dalam beberapa keadaan, kerajaan dibenarkan mengutip cukai dari rakyat. Dr yusuf Al-Qaradhawi menyebut;

و اشترط بعضهم أن يخلو بيت المال خلوا تاما حتى يجوز فرض ضرائب , و ما صنعوا ذلك إلا خشية إسراف الحكام في طلب الأموال لحاجة و لغير حاجة
Maksudnya; “Setengah ulama mensyaratkan [mengutip cukai], bahawa dalam keadaan baitul mal [perbendaharaan negara] benar-benar kekeringan, sehingga terpaksa mengenakan cukai [kepada rakyat]. Mereka [ulama] meletakkan syarat sebegitu, tidak lain kerana bimbang berlaku pengambilan harta rakyat sewenang-wenangnya, sama ada ketika hajat atau tidak” [Fiqh Az-zakat : 2/1140]

Imam As-Syatibi pula menyatakan;

و شرط جواز ذلك كله عندهم عدالة الإمام و إيقاع التصرف في أخذ المال و إعطائه على الوجه المشروع

Maksudnya; “Disyaratkan keharusan itu – disisi mereka [ulama] – adalah pemerintah mestilah adil, dan perbelanjaan dari sudut pengambilan harta dan pemberian harta itu atas jalan yang dibenarkan syarak” [Al-‘Itisam : 2/86]

Dalam Imam Al-Qurtubi pula menerangkan syarat-syarat mengambil harta rakyat dalam bentuk cukai adalah seperti berikut;

Pertama, jangan pemimpin mementingkan dirinya dengan membebankan rakyat.

Kedua, hendaklah dipentingkan kepada golongan yang paling berhajat dengan bantuan kewangan.

Dan ketiga, hendaklah disama-ratakan pembahagian negara [hasil cukai] berpandukan taraf kedudukan rakyat. [tafsir Al-Qurtubi : 11/60]

Khalifah Umar telah mengadakan cukai tanah dan juga jizyah kepada golongan kafir zimmi. Cukai ini adalah berpatutan kerana rendah kadarnya dan tidak menyusahkan mereka. Pernah suatu kali khalifah Umar memanggil 10 orang zimmi dari Kufah dan 10 orang zimmi dari Basyrah supaya mereka bersumpah, bahawa cukai yang dikenakan keatas mereka tidak membebankan.

Taraf dan hak awam di berikan sama rata seperti apa yang dinikmati oleh orang Islam. Golongan zimmi yang masih menentang Islam akan dibuang atau dihalau keluar negara. Harta mereka tidak akan dirampas, malah harta mereka yang tidak dapat dipindahkan seperti ladang akan dibayar ganti rugi oleh kerajaan Islam.

Sumber: Tanyalah Ustaz Blogspot

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *