SOALAN:

Assalamualaikum
Adakah dibolehkan membaca Al-Quran ketika haid dan berjunub?

 

JAWAPAN:
Para fuqaha’ telah berselisih pendapat dalam masalah membaca Al-Quran semasa haid dan berjunub[1]( hadas besar kerana persetubuhan atau keluar mani kerana mimpi) kepada 3 pendapat:

Pertama

Tidak diharuskan membaca Al-Quran semasa haid dan junub(hadas besar).
Pendapat ini disokong oleh para ulamak dikalangan mazhab Imam Hanafi[2] dan Imam Syafie[3].Ini Juga merupakan pendapat Imam Malik[4] sendiri dan riwayat yang sangat masyhur pada Imam Ahmad dan beberapa ulamak dikalangan mazhab Hanbali.[5]
Hujjahnya:
Telah diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.anhuma dalam satu hadis Rasulullah S.A.W bersabda:
(Janganlah membaca sesuatu pun dari Al-Quran semasa haid dan berjunub).[6]

 

Ulamak berselisih pendapat mengenai hadis di atas kerana terdapat seorang rawi iaitu Ismail bin A’yas yang ditolak riwayatnya.[7]

Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah mengatakan hadis ini dhoif berdasarkan pendapat para ahli hadis.[8]

Kedua

Diharuskan kepada mereka untuk membaca Al-Quran secara mutlak.
Pendapat ini disokong oleh Az-Zhohiri di dalam kitabnya yang berpendapat membaca Al-Quran,sujud,menyentuh mushaf dan zikir kepada Allah Ta’ala dibolehkan dalam keadaan berwuduk,tanpa wuduk,semasa haid dan juga bagi yang berjunub.[9]
Pendapat ini berdasarkan dalil dari sunnah dan juga athar para sahabat.
Dalil dari sunnah:(Adalah Nabi S.A.W berzikir kepada Allah pada setiap keadaannya)[10]

Keterangan hadis:
Ummul Mukminin Aisyah r.anha mengatakan bahawa Rasulullah S.A.W sentiasa berzikir kepada Allah Ta’ala pada setiap waktu dan keadaanya termasuk juga ketika waktu junubnya.Maka bacaan Al-Quran juga termasuk di dalam zikir yang sentiasa dilakukan oleh Rasulullah S.A.W.[11]

Kata Imam Nawawi yang dimaksudkan berzikir di dalam hadis ini bukanlah membaca Al-Quran seperti yang difahami.[12]

Dalil dari athar sahabah:Telah diriwayatkan bahawa Abdullah bin Abbas telah membaca Al-Quran dalam keadaan masih berjunub(hadas besar).[13]
Membaca Al-Quran merupakan amalan ibadah yang sangat dituntut dan dianjurkan, pembacanya akan mendapat ganjaran dan sesiapa yang melarang membaca Al-Quran pada waktu tertentu maka hendaklah membawa dalil yang melarangnya.[14]

Ketiga
Diharuskan membaca Al-Quran semasa haid dan tidak diharuskan kepada yang berjunub(hadas besar).
Ini merupakan pendapat yang masyhur Imam Malik dan para pengikutnya[15]. Begitu juga pendapat lama (qaul Qadim) Imam Syafie[16] dan juga merupakan pendapat Imam Ahmad dan para pengikutnya.[17]
Mereka berhujjah mengatakan haid merupakan satu perkara yang telah ditetapkan oleh Allah Ta’ala kepada kaum wanita. Ia datang tanpa suruhan dan berterusan untuk beberapa waktu yang biasa dialami oleh wanita.Jika hal ini merupakan satu larangan, nescaya kaum wanita akan lupa apa yang telah dipelajari dari isi kandungan Al-Quran. Berbeza dengan orang yang berjunub (hadas besar), ia datang mengikut kehendak tuannya secara kebiasaanya (persetubuhan) dan dapat diatasi dengan mandi wajib sahaja.[18]
Maka diharuskan membaca Al-Quran semasa haid sahaja dan bukan kepada yang berjunub kerana tiada dalil yang mencegahnya.

Kesimpulannya
Pendapat ketiga yang mengharuskan membaca Al-Quran semasa haid dan tidak diharuskan membacanya ketika berjunub merupakan pendapat yang paling tepat kerana tiada dalil yang menghalangnya kecuali satu hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.anhuma.Hadis ini dhoif dan tidak boleh dijadikan hujjah. Manakala bagi yang berjunub,terdapat pelbagai hadis yang melarangnya walaupun padanya terdapat perselisihan ulamak hadis tetapi masih ada lagi hadis lain yang menyokong hadis tersebut sehinggalah boleh dijadikan hujjah untuk beramal dengannya.[19]

Kata Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah:
Telah diketahui bahawa semasa zaman Rasulullah S.A.W kaum wanita telah didatangi haid tetapi mereka tidak ditegah membaca Al-Quran sepertimana tidak juga ditegah untuk berzikir dan berdoa kepada Allah Ta’ala,bahkan mereka juga diperintahkan untuk keluar pada hari eid (hari raya) dan sama-sama bertakbir pada hari tersebut bersama kaum muslimin yang lain. Mereka juga diperintahkan untuk melakukan semua amalan haji kecuali tawaf,mereka juga bertalbiah, begitu juga bermalam di Muzdalifah, Mina dan sebagainya.
Manakala orang yang berjunub (hadas besar) mereka pula tidak diperintahkan untuk keluar pada hari eid (hari raya),solat pada hari tersebut dan juga tidak diperintahkan untuk menyempurnakan amalan haji.
Maka berdasarkan hal ini,dapat diketahui bahawa kaum wanita yang didatangi haid dilonggarkan kepada mereka untuk melakukan semua amalan tersebut berbeza dengan orang yang berjunub kerana keuzuran (haid) yang telah ditetapkan oleh syariat islam walaupun tempohnya panjang. Begitu juga membaca Al-Quran bagi mereka tidak menjadi satu halangan di dalam syariat islam.[20]
[1]Berjunub:Hadas besar kerana persetubuhan atau keluar mani kerana mimpi.
[2] Fataw Al-Hindiyah:39/1,Mukhtasor At-Thohawi:18
[3] Al-Majmuk:158/2
[4] Al-Muntaqa Syarhu Muwatta’ Imam Malik:120/1
[5] Al-Mughni:316/1
[6] Sunan Tirmizi(131),
[7] Mizanul I’tidal:242/1,Tahzib At-Tahzib:325/1
[8] Majmuk Fatawa Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah:460/21
[9] Al-Muhalla li ibni Hazm Az-Zhohiri
[10] Sohih Bukhari:Kitab Haid 79/1
[11] Subulus Salam Syarhu Bulughul Muram min adillati al-ahkam:71/1
[12] Al-Majmuk li Nawawi:159/2
[13] Al-Muhalla li Ibn Hazm:79/1
[14] Al-Muhalla li Ibn Hazm:77,78/1
[15] Al-Muntaqa Syarhu Muwatta’ Imam Malik:120/1
[16] Al-Majmuk li Nawawi:356/2
[17] Al-Insoof:343,347/1,Majmuk Fatawa Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah:459,460/21
[18] Majmuk Fatawa Syeikh Islam Ibnu Taimiyyah:460,461/21
[19]Prof.Dr.Abdul Aziz bin Muhammad Al-Hujailan:Al-Ahkamu Al-Fiqhiyyah Al-Khashotu bil Al-Quran Al-Karim.
[20] Majmuk Fatawa Syeikhul Islam Ibnu Taimiyyah: 460,461/21

Artikel dipetik dari : http://mohamadazhar.com/al-quran-dan-mukjizatnya/membaca-al-quran-ketika-haid-dan-berjunub

Comments

  1. Diyana Liza

    Assalamualaikum,
    Saya ada soalan berkaitan isu cerai. Suami saya kerap buat² lupa untuk beri nafkah zahir. Dia hanya beri nafkah sekiranya dia terasa nak bagi atau kadang² hanya beri bila saya meminta. Tetapi bila saya minta, dia akan marah² dan caci maki serta ugut saya bermacam². Apabila bergaduh dan timbul isu nafkah, suami kerap beritahu bahawa makan malam saya yang dia belanja setiap hari itu sudah mencukupi sebagai nafkahnya sebagai suami. Untuk makluman, saya bekerja dan tidak mempunyai anak. Manakala suami pula duda anak tiga. Anak² tiri saya tinggal dengan keluarga suami.
    Selama tempoh perkahwinan, sewa bulanan rumah dibahagi dua. Sebahagian di bayar oleh saya dan sebahagian di bayar oleh suami. Untuk makluman, saya tidak pernah ikhlas dengan wang yang saya keluarkan untuk bayar rumah. Ini kerana, saya pernah di minta suami untuk mengeluarkan tunai menggunakan kredit kad sebanyak 15ribu untuk keperluannya. Pada mulanya, saya seperti buta, dan hanya mengikut apa sahaja kehendaknya. Hari demi hari, pegawai bank terus menerus menasak saya untuk membuat bayaran sedangkan suami yang berhutang. Sudah lah saya yang terpaksa tanggung tekanan dari pegawai bank, sewa rumah pula kena bayar separuh, nafkah pula tenggelam timbul. Dia memang mempunyai masalah kewangan kritikal setiap masa kerana dia berhutang keliling pinggang. Saya pula memang tak mahu bantu kerana dia berhutang dengan nama saya. Nama saya juga sudah disenarai hitam oleh bank kerana suami.
    Pernah beberapa kali kami bergaduh dan suami mula ugut bahawa dia akan bomohkan saya supaya dengar cakapnya. Saya ada membuat laporan polis dan simpan senyap² laporan tersebut daripada suami. Pernah juga sekali suami keji saya dengan mengatakan dia menyesal kerana berjumpa saya buat kali pertama. Tetapi bila saya pujuk dia untuk ceraikan saya, dia berkata bahawa dia tak akan lepaskan saya dan akan buat saya sengsara dan ingin saya melutut memohon maaf darinya. Dia juga mengugut : Jangan sampai dia cederakan saya seperti mana dia cederakan isterinya dahulu. Dia juga mengaku bahawa dia bermalam di lokap selama seminggu oleh kejadian tersebut. Saya hidup dalam trauma. Saya masih tinggal sebumbung dengan suami dan melayannya sebaik mungkin kerana risau jika dia cederakan saya.
    Soalan saya, disebabkan oleh sikap suami begini, bolehkah saya memohon cerai taklik? Jiwa saya kacau. Saya tak mampu luahkan kepada sesiapa tetapi ahli keluarga telah pun tahu dan tidak berani membuat sebarang tindakan kerana saya masih sah isterinya. Saya tidak mahu di anggap ingkar dengan suami. Dan di sebabkan itu, saya berpura² masih mencintai suami dan hidup sebumbung dengan nya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *