SOALAN:

Saya mohon maaf jika soalan ini berulang, saya telah cuba cari tapi tak jumpa.

Saya masih confuse untuk mengamalkan basmalah ketika membaca AL-Fatihah dalam dan luar solat. Adakah boleh jika tidak dibaca langsung basmalah ketika baca al-fatihah? Iaitu ia sekadar sunat utk dibaca. Saya mohon penjelasan dan dalil adakah basmalah sebahagian dari surah al-fatihah.

Jika dikira al-fatihah mengandungi 7 ayat termasuk basmalah sesuai seperti dinyatakan sebagai sab’u masani di dalam hadis Nabi SAW

Mohon penjelasan.

Terima kasih.

____________________________

JAWAPAN:

بسم الله، و الحمد لله، و الصلاة والسلام على رسول الله، وبعد

Ulama sepakat mengatakan bahawa ‘basmalah’ adalah merupakan sebahagian daripada surah An-Naml , tetapi berselisih pendapat mengenai adakah diwajibkan membacanya dalam solat.

Abu Hanifah dan Ahmad mengatakan ianya adalah sunat sahaja kerana mereka beranggappan bahawa basmalah bukanlah satu ayat dari surah Al-Fatihah.

Manakala Imam Syafie mewajibkan membacanya.

Para Qurra Makkah dan Kufah mengatakan bahawa basmallah adalah merupakan sebahagian dari surah Al-Fatihah , manakala para Qurra Madinah , Basrah dan Syam tidak menganggap basmalah adalah ayat daripada surah al-Fatihah.Mereka mengatakan bahawa basmalah hanya merupakan pemutus antara setiap surah-surah yang terdapat dalam al-Quran.

Pendapat para Qurra Madinah , Basrah dan Syam ini dikuatkan dengan dalil daripada hadis Nabi saw sebagaimana berikut :

أن رسول الله صلى الله عليه وسلم كان لا يعــرف فصــل السور حتى ينــزل عليه ( بسم الله الرحمن الرحيم)

“Sesungguhnya Rasulullah saw tidak mengetahui akan pemutus antara surah-surah sehinggalah diturunkan Bismillahir Rahmanir Rahim.

[HR Abu Daud : 788 , Al-Hakim : 1/231. Disahkan dan dipersetujui oleh Az-Zahabi]

Walaubagaimana pun terdapat juga dalil yang mengatakan bahawa Basmalah bukanlah sebahagian daripada al-fatihah sebagaimana hadis daripada Anas bin Malik ra :

أن النبي صلى الله عليه وسلم وأبا بكر وعمر كانوا يفتتحون الصلاة ب(الحمد لله رب العالمين)

“Adalah Rasulullah saw dan Abu Bakar serta Umar memulai solat dengan (Alhamdulillahi rabbil ‘Alamin) [H.Muttafaqun ‘Alaih , Bukhari :743 dan Muslim : 399]

Dalam Riwayat Imam Muslim terdapat tambahan yang menyebutkan bahawa mereka iaitu Rasulullah saw , Abu Bakar dan Umar tidak menyebut Basmalah samada diawal bacaan ataupun diakhir bacaan al-Fatihah sebagaimana berikut :

لا يــذكرون ( بسم الله الرحمن الرحيم) في أول قراءة ولا في آخرها

Malah menurut Asy-Syaikh Abdullah bin Abd Rahman Al-Bassam , terdapat hadis sahih yang jelas menunjukkan bahawa Basmalah bukanlah merupakan ayat daripada surah Al-Fatihah sebagaimana berikut :

أن الله قال: قسمت الصلاة بيني وبين عبدي نصفين ، فإذا قال : الحمد لله رب العالمين ، قال : حمدني عبدي …….. إلخ

“Nabi saw bersabda : Sesungguhnya Allah swt telah berfirman : Aku membahagi dua solat hambaku , separuh untuk untuk-Ku dan separuh untuk hamba-Ku.(Untuk hamba , apa yang ia minta)…..Ketika hambu-Ku membaca (Alhamdulillahi rabbil ‘Alamin) , Aku berfirman : Hamba-Ku memuji-Ku………hingga akhir.

[HR Imam Muslim : 395]

Hadis di atas jelas menunjukkan bahawa permulaan al-Fatihah adalah (Alhamdulillah….) bukannya basmalah….Allahu A’alam…

WA

Ruj :

Taudhih Ahkam min Bulughil Maram , Asy-Syaikh Abdullah Abd Rahman Al-Bassam.

Fathul Qadir , jilid 1 , ms : 65

Al-Ahkam Asy-Syar’iyyah li qurra al-Quran al-Karim , Asy-Syaikh Dr. Mahmud Ahmad Sa’id al-Atrash.

 

Sumber: https://aljawhar.wordpress.com/2009/02/07/adakah-basmalah-sebahagian-dari-al-fatihah/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *